Thursday 24 May 2012

Jujur itu penting

Jujur. Suatu perkataan yang pendek tetapi cukup bermakna kerana jujur melambangkan siapa diri kita yang sebenar. Kalau kita tidak jujur dengan diri kita sendiri, mungkinkah kita akan jujur dengan orang lain? Semestinya tidak. Baiklah. Apa lawan bagi jujur? Ya, bohong. Hati siapa yang tidak sakit apabila dibohongi oleh seseorang yang mungkin kawan kita sendiri? Pasti rasanya begitu sakit seperti ditikam bertubi-tubi. 

________________________________________________________________________

"Setiap yang kita lakukan, biarlah jujur kerana kejujuran itu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran, hidup akan sentiasa menjadi mainan orang"

________________________________________________________________


Sebenarnya, saya ingin berkongsi dengan awak semua mengenai seorang kawan saya. Dia memang seorang yang baik tetapi apa yang paling saya tidak suka tentang dia, dia seorang yang tidak jujur dengan diri sendiri dan tidak jujur dengan kawan-kawan dia yang lain. Saya pun tidak faham dengan sikap dia. Berdosa ke kalau jadi seorang yang jujur? Saya rasa memang tidak berdosa tetapi mungkin bagi dia berdosa.

Hai awak, saya memang suka berkawan dengan awak. Suka sangat-sangat. Awak seorang manusia yang cukup sempurna di mata saya tetapi malangnya, ada sesuatu yang membuatkan saya salah menilai awak. Awak tidak jujur dengan saya dan juga diri awak sendiri. Kenapa ya? Saya faham awak cuba nak mendapatkan yang terbaik tetapi tidak salah bukan kalau awak buat sesuatu itu dengan usaha awak sendiri? Kalau kita buat sesuatu itu dengan usaha kita sendiri, kita akan rasa puas dengan apa yang kita dapat dan sedar itu adalah suatu kelebihan yang kita sendiri tidak sedar. 

Awak, semenjak saya menegur awak pasal benda itu, saya sedar bahawa kita macam sudah tidak rapat lagi. Saya tahu yang awak terasa dengan saya tetapi sedarkah awak yang saya pun terasa dengan awak? Apabila saya menanyakan awak tentang benda itu, awak langsung tidak menjawab soalan saya. Pada mulanya, memang awak jawab tetapi awak buat saya makin ragu-ragu dengan jawapan awak. Awak buat saya nak tanya lebih banyak soalan lagi. Kalau betul awak tidak buat benda itu, kenapa awak tidak menjelaskan semua itu pada saya? Kenapa tidak cakap yang awak tidak buat benda itu?

Awak, saya minta sangat-sangat dengan awak supaya berubah. Berubah untuk kebaikan diri sendiri. Satu perkara sahaja yang awak harus tahu, semua orang tidak suka pada orang yang suka menipu. Kalau awak terus-menerus melakukan perkara seperti ini, lama-kelamaan tidak akan ada orang yang nak berkawan dengan awak. Meluat dan menyampah itu menjadi perkataan yang akan selalu awak dengar daripada mulut orang. Saya pun nak minta maaf kalau saya buat awak terasa dengan saya. 

Apa pun, saya masih nak berkawan dengan awak. Saya harap kita dapat berbaik semula. Muehehehe. Saya rindu nak gelak-gelak dengan awak. Biarlah orang nak kata kita gila pun. Hahaha. Ehem, saya ada satu permintaan lagi. Mana aiskrim sayanya? Baiklah, sampai di sini sahaja saya nak taip. 




Assalamualaikum.

Sunday 22 April 2012

Malang menimpa

Saya rasa macam saya sudah ditakdirkan untuk menjadi seorang yang malang pada hari ini. Sepatutnya, hari ini saya menjadi seorang yang bagus tetapi itulah. Allah sudah tentukan. Saya tidak boleh menghalang kehendak-Nya. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Jadi, saya harus menerimanya dengan ikhlas. Bukankah begitu? Apa pun, saya gembira sebab saya ditimpa malang. Aik? Kenapa saya harus gembira apabila ditimpa malang? Sebab saya dapat belajar untuk lebih berhati-hati dalam melakukan sesuatu. 

Cerita 1

Apa perasaan awak apabila awak ingin pergi berjumpa dengan ibu awak tetapi ibu awak telah pulang ke rumah? Pasti awak akan rasa marah dan geram. Dengan keadaan awak yang letih dan panas, tiba-tiba sudah kena tinggal dekat sekolah. Ehem, dan semua itu telah terjadi kepada saya. Bukan main merah lagi muka saya menahan marah. Sebenarnya, saya tidak marah pun. Cuma saya rasa malu. Aik? Sudah kena tinggal tetapi tiba-tiba rasa malu. Yalah, tadi bukan main semangat lagi cakap dekat kawan-kawan saya yang saya nak jumpa dengan ibu saya. 

Dan akhirnya, saya terpaksa pergi dekat kawan-kawan saya dan memberitahu mereka bahawa saya telah ditinggalkan oleh ibu saya. Masa itu, perasaan malu sudah mula menguasai diri saya. Rasa macam nak tumbuk-tumbuk lantai sahaja. Tetapi, tidak mengapa. Saya sudah biasa kerana sebelum ini, ibu saya pun pernah tinggalkan saya dekat sekolah. Jadi, rasa malu itu rasa macam biasa-biasa sahaja. Almaklumlah, orang sudah biasa kena tinggal. 

Cerita 2

Selepas saya meletakkan beg saya di pondok, saya ingin menyalin baju saya di tandas bersama kawan saya, Ainaa dan akhirnya kami telah membuat keputusan untuk menyalin baju di tandas kakak-kakak tingkatan 4 dan 5. Apabila kami sampai di tandas tersebut, kawan saya ini mahu pergi menyalin bajunya dulu dan saya pula menunggunya di luar. Selepas kawan saya ini telah selesai menyalin baju, saya pula yang menyalin baju. Hah, masa itulah kami telah menerima satu masalah yang besar.

Kawan saya ini ingin mengusik saya. Dia pergi menutup pintu tandas itu dengan kuat sebagai tanda bahawa dia sudah keluar daripada tandas tersebut. Dan secara tiba-tiba, dia menjerit. Dia mengadu dekat saya bahawa pintu itu tidak boleh dibuka. Pintu itu sebenarnya tiada tombol di dalam tetapi di luarnya ada. Kawan saya ini bukan main panik lagi dan dia hampir-hampir menangis. Saya pula menenangkannya. Oleh kerana saya seorang yang kuat, saya dan kawan saya itu pergi menarik pintu itu melalui bahagian bawah. 

Akhirnya, pintu itu terbuka. Bukan main seronok lagi kitaorang. Nasib baik ada orang kuat. Kalau tidak ada, entah apa yang akan terjadi dekat kawan saya. Bila difikirkan semula cerita itu, saya ketawa terbahak-bahak. Apa pun, saya rasa gembira kerana saya mulai sedar di mana kekuatan saya dan kekuatan saya itu ada pada persahabatan. 

Cerita 3

Oleh kerana kawan-kawan saya sedang lapar, mereka ingin membeli makanan di luar. Saya pun ingin mengikut mereka bagi mengelakkan saya bersendirian seperti orang tidak tentu arah. Buat malu sahaja kalau duduk seorang diri. 

Semasa saya ingin melintas jalan, tiba-tiba ada lori ingin melanggar saya. Kawan-kawan saya pun menjeritlah. Saya pula terkejut beruk dan akhirnya menjadi beruk. Itulah akibatnya jika terlampau terkejut. 

Cerita 4

Saya masuk kawad kaki. Hebat bukan? Janganlah dengki. Nanti saya jadi makin comel pula. Ehem, tadi saya ada latihan kawad kaki. Selepas itu, saya dengan kawan sebelah saya itu pun kena buat bergerak apa entah. Saya pun tidak tahu. Entah apa yang kelakarnya, kitaorang tiba-tiba tergelak. Macam orang gila pun ada. Mungkin saya kot yang buat kelakar kerana cara saya bergerak, nampak macam terlalu kelakar. Tetapi, tidak mengapa, saya rasa diri saya seperti terlebih hebat. 

Baiklah, itu sahaja saya nak tulis pada hari ini. Harap awak semua gembira apabila membaca blog saya. Semoga terhibur ya? 


Assalamualaikum.

Thursday 19 April 2012

Saya rindu awak

Sebenarnya, saya rindu sangat-sangat dekat awak. Saya rindu nak dengar suara awak. Saya rindu nak tengok wajah awak. Nak dipendekkan cerita, saya rindu segala-galanya tentang awak. Saya pun tidak tahu kenapa saya menjadi begitu angau dekat awak pada malam yang gelap ini. Kenapa awak kena belajar jauh sangat? Kenapa? Tidak mengapalah. Saya faham. Tetapi, apa yang paling saya risau sekali ialah saya risau kalau-kalau awak ada cari perempuan lain dekat sana. Bukan niat saya untuk menuduh awak sembarangan tetapi itulah. Saya cemburu. Kalau awak tinggalkan saya, tidak mengapa. Mungkin saya akan cari pengganti awak. Jadi, lebih baik jangan tinggalkan saya. 

Pada awalnya, saya rasa biasa sahaja apabila awak pergi belajar jauh-jauh. Tetapi, tidak sampai beberapa minit setelah awak pergi, saya terus rindu dekat awak. Apa kes? Entahlah. Saya pun tidak faham dengan diri saya yang comel ini. Baiklah, sila jauhkan diri awak semua daripada saya kerana si comel ini sudah mula dilanda ribut perasan. Saya masih ingat masa awak bagi kek dekat saya. Maksud saya, bukan awak yang bagi kek itu tetapi kawan awak yang bagi. Saya rasa seperti bidadarilah pula. Yalah, awak layan saya betul-betul macam saya ini permaisuri segala permaisuri. Saya tahulah saya comel. Tetapi, tidak perlulah melayan saya sampai sebegitu rupa. Saya sangat malu. 

Ehem, sudah lama awak tidak menelefon saya bukan? Awak tidak rindu ke nak dengar suara saya yang sedap lagi merdu ini? Tetapi, tidak mengapalah. Saya tahu awak sedang bergayut dengan isteri awak. Saya faham. Awak, semua orang asyik tanya dekat saya pasal awak. Kenapa semua orang nak tanya dekat saya pasal awak? Baiklah, saya faham. Mereka itu sukakan awak. Wah! Banyak betul peminat awak. Tetapi mujur sahaja, peminat saya lagi ramai. Tolong dengki dengan saya. Awak, saya tahu awak tidak risau langsung sekiranya awak melihat saya bercakap dengan mana-mana lelaki lain. Nampak sangat saya hanya syok sendiri. Sangat tidak baik untuk diri saya.


Awak, hanya satu yang awak harus dan wajib ingat. Jangan tidak ingat pula. Saya akan tetap sayang dan setia dekat awak seperti mana yang awak pernah kata dan buat dekat saya dulu. Untunglah saya seorang yang mudah mengingat sesuatu. Baiklah, saya sangat bangga. Awak, saya sangat rindukan awak. Awak betul-betul buat saya jadi tidak tentu arah. Awak ada jampi saya ke? Baiklah, saya tahu awak tengah marah sekarang. Sebelum saya menjadi lebih mengarut dan gila, lebih baik saya mengundurkan diri untuk berhenti menaip. 

Akhir sekali, saya sayang teman lelaki saya sangat-sangat. Tolong setia dengan saya. Kalau awak betul-betul setia dengan saya, baru saya akan setia dengan awak. Kalau awak tidak setia dengan saya, tengoklah apa yang akan jadi dekat awak. 



Assalamualaikum.